Pada suatu hari, Abu Bakar Al-Kalbi pergi ke Kufah untuk menemui seorang
Hakim. Sebaik sampai di sana, dia berjumpa seorang lelaki yang sedang
duduk berjemur di bawah panas matahari.
“Wahai tuan, di manakah rumah tuan hakim?” tanya Abu Bakar Al-Kalbi kepadanya.
“Di belakangmu,” jawab lelaki itu.
Abu Bakar berpatah balik ke belakang untuk mencari rumah yang dimaksudkan.
Tiba-tiba lelaki itu menegur, “Subhanallah, mengapa engkau berpatah balik ke belakang?”
“Tuan kata di belakangmu, jadi saya berpatah balik ke belakanglah,” jawab Abu Bakar dengan jujur.
“Dengarlah
kataku ini wahai saudara. Ikramah meriwayatkan kepadaku dari Ibnu Abbas
mengenai firman Allah iaitu surah Al-Kahfi, ayat 79 yang bererti,
‘Kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mengambil setiap perahu
dengan paksa.’ Ikramah berkata, di belakang mereka maksudnya di
hadapan mereka,” kata lelai itu. Barulah Abu Bakar Al-Kalbi faham rumah
tuan hakim yang dicari ada didepannya.
“Subhanallah” kata Abu Bakar kerana kagum. Kemudian dia bertanya, “Tuan ini siapa?”
“Abul Ghusn,” jawabnya.
“Nama yang sebenar?” tanya Abu Bakar lagi.
“Juha,” jawabnya.